Wednesday, June 3, 2009

Si kecil ini..

Cuti ini saya diamanahkan mak untuk memantau kehidupan adik saya yang bongsu,Dila .Memantau solatnya,ngajinya,tingkah lakunya.Dila lahir semasa saya berada di tingkatan 1.Dila lahir tika mak kebosanan di rumah ketika kami semua sudah bersekolah.Jarak Dila dengan adik saya kedua last berbeza tujuh tahun.Dila lahir pada bulan Disember semasa cuti sekolah.Justeru pastinya saya habiskan cuti sekolah waktu itu untuk bermain dengan adik baru saya ini.Adilah Nazirah nama yang saya cadangkan kepada abah ketika bahang-bahang reformasi masih terasa.

Mungkin kerana Dila dilahirkan sewaktu kakak-kakak dan abangnya sudah besar,justeru Dila matang sebelum usia.Seawal usia 6 tahun Dila dah pandai membaca tanpa perlu mengeja satu persatu.Juga sudah pandai menekan-nekan handset untuk mengantar mesej.Usia 7 tahun Dila sudah pandai mencari kartun kegemaranya spongebob di you tube.

Dila sudah menunjukkan minat membaca sejak kecil.Dan pastinya orang yang mempengaruhi minatnya ini adalah abah sepertimana saya sewaktu kecil dahulu.Baru-baru ini Dila berminat hendak membaca buku Alexander Bukan Zulqarnain.Sudah saya cakap dia takkan paham disebabkan buku tersebut bukannya cerita tetapi merupakan fakta.Seboleh-bolehnya semua buku saya dia nak baca walaupun dia tidak paham.Seterusnya bermacam-macam soalan yang ditanya.

Dila adik kecilku ini nakalnya amat.Pernah sekali Dila menggunting sejadah saya.Juga pernah membaling handset abah saya gara-gara mengamuk.Di sebalik kenakalannya,Dila seorang yang penyayang.Dila tak boleh tengok orang menangis.Kalau kakaknya nangis,dikesatnya air mata,dipujuk kakaknya sampai tenang.

Senakal-nakal Dila,Dila sudah memasang impian tak padan dengan dengan usianya 8 tahun.Dila selalu bertanya kepada mak kalau melihat kereta-kereta besar yang berjenama.

’Mak orang tu kerja apa?’,’ Kalau kerja tu banyak gaji ke?’,’Dah besar nanti Dila nak kerja macam tu lah’.

Dan sebab itulah Dila sering bertukar cita-cita apabila melihat kereta lebih besar.Dila dah menanam cita-cita di hatinya untuk menjadi orang yang berjaya apabila besar nanti.Dan paling saya tersentuh ialah Dila bercita-cita untuk bersekolah di Maahad yang jauh dari keluarga untuk berdikari. Walaupun ia hanya kata-kata dari seorang budak kecil yang belum mengenal erti dan reality sebenar kehidupan,tetapi ianya merupakan angan-angan yang lahir dari jiwa yang murni lagi bersih si kecil ini.

Mungkin kerana saya adalah kakaknya yang paling garang dan tegas sebab itulah saya dipertanggungjawabkan memantau Dila. Setiap ketegasan diiringi kelembutan. Perasaan kasih, mesra, adalah penting bukan keras melulu dan sepanjang masa dengan kekerasan. Walau saya kakaknya yang paling garang,saya jugalah kakaknya yang rajin melayannya bermain-main,bersoal jawab,berteka teki.Apabila memarahi Dila disebabkan kenakalannya sering saya terimbas kisah Saidina Ali.

Pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya."Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?" tanya lelaki itu.
Maka, jawab Ali, "Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah."

Marah saya pada Dila dengan niat mendidik .Mendidik dan membentuknya menjadi orang yang berguna kepada agama kerana Allah taala.Bukan marah secara melulu disebabkan kenakalannya juga bukan kerana ego seorang kakak.

Besar harapan serta impian mak dan abah terhadap anak-anaknya,besar jugalah harapan saya terhadap semua adik adik saya,juga Dila yang saya kira memang masih boleh dibentuk untuk menjadi ‘someone’ seperti maksud namanya.

Dan semalam Dila berkata lagi.Dila nak sekolah maahad sebab nak sambung belajar dekat Mesir.Dan saya hanya membalas dengan senyuman dan doa di dalam hati,Semoga kau berjaya adikku.


gambar raya di kampung,Dila(tudung kuning)bersama sepupunya

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template Joy by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP